Friday, April 13, 2012

Merawat Hati Yang Gundah: Tips & Adab Menghadapinya

Baru-baru ini saya diceritakan berkenaan seorang teman yang hatinya sering dan sedang dilanda perasaan gundah gulana yang mana beliau sendiri tidak dapat mengenalpasti apakah yang menjadi penyebab kepada perasaan tersebut.

Saya ada juga memberikan nasihat kepada beliau agar tidak terlalu menuruti hati yg berperasaan tersebut tapi saya pasti ramai juga diluar sana yang mungkin sedang atau pernah mengalami keadaan yang sama dengan teman saya ini. Dan tidak dinafikan saya juga pernah mengalami keadaan tersebut. Perkara pertama yang memang terlintas difikiran adalah bila kita menghadapi masalah hati yang tidak keruan ini, memang sebaik2nya lah kita terus mendekatkan diri kepada Allah. Kerana hanya dialah yang selayaknya untuk kita mengadu dan memohon pertolongan.  Agar kita diberi hidayah dan jalan petunjuk untuk menyelesaikan masalah ini.

Dalam pada itu, saya juga cuba2 untuk mencari maklumat yg ada di internet tentang cara2 mengubat penyakit hati yang sebegini. Internet ini walaupun dikatakan hanya mendatangkan kerosakan dek kerana yang menciptanya adalah Yahudi tapi kita sebagai umat Islam haruslah pandai menggunakannya untuk kebaikan dan bukan turut sama dengan mereka yang berniat untuk mencipta internet dengan tujuan kerosakan.  Dari sini saya dapati banyak yang boleh kita lakukan daripada perkongsian ilmu yang ada tersangat banyaknya di ruang maya ini. Cumanya kita perlu bijak menapis samada ilmu ini dapat kita gunakan untuk manfaat kita dan umat Islam yang lain atau sebaliknya. Dan yang penting sekali ilmu itu hendaklah benar2 berteraskan Quran dan Hadis dan bukanlah ciptaan mereka2 yang jahil yang cuba untuk menyesatkan kita.

Berbalik kepada pencarian asal saya untuk mencari tips2 bagi menghadapi masalah hati ini, saya ketemukan sebuah web/blog yang agak menarik isinya seperti tajuk di atas.  Justeru itu saya ingin sekali berkongsikan ilmu ini untuk teman saya dan diri saya juga agar dapat dijadikan panduan dan peringatan untuk saya di masa2 hadapan.

Marilah sama2 kita menghayati penulisan ini:


"Hatinya hiba. Duduk beralaskan surat khabar di penjuru rumah bersandarkan dinding kayu yang usang. Kosong jiwanya. Fikirannya tidak tentu arah. Wajahnya nampak sugul dengan terdapat kesan lebam di bawah mata kerana terlalu banyak menangis. Malamnya sering terjaga dan tersentak. Sesekali, dia memandang ke langit. Melihat lintasan si merpati di awan gemawan yang kebiruan. Jauh di sudut hatinya mengenang nasib yang menimpanya kebelakangan ini. Dia tunduk kembali melihat ke tanah. Sayu di hatinya tidak bisa ditanggung lagi, maka mengalir deraslah airmata kesayuan…"

Cerita yang digambarkan melalui penulisan di atas adalah keadaan hati seseorang yang gelisah dan gundah hatinya. Memang sukar digambarkan betapa peritnya kisah insan di atas. Berat kita yang melihat atau mendengar, berat lagilah bahu yang menggalas bebannya sendiri. Islam ada caranya tersendiri untuk mengubat hati yang resah gelisah. Berikut ialah antara tips & adab tatkala menerima musibah.

Solat

Solat adalah suatu terapi yang baik buat manusia. Sesuatu yang baik tidak terhasil dengan perlaksanaan yang sambil lewa. Kebaikan berbuah daripada kesungguhan dan keikhlasan. Lakukanlah solat wajib tanpa melupakan yang amalan yang sunat sebagai ibadah sampingan. Intipati di dalam ibadah solat sebenarnya sudah mencukupi untuk mengubati perasaan dukacita, resah gelisah dan sebagainya. Hal ini kerana, bacaan dan doa yang terdapat didalamnya sekiranya dihayati, amat-amat menginsafkan diri.

Perlu diingat, bahawa resah gelisah boleh jadi datang daripada dosa kita. Apabila solat kita mampu menginsafkan diri, maka, InsyaAllah, ketenangan pasti hadir. Kebahagiaan pasti berbunga dan kehidupan pasti lagi indah dan mudah.

Lakukanlah qiyamulail dengan melaksanakan solat taubat, tahajjud dan ibadah-ibadah lain. Rasulullah s.a.w pernah bersabda di dalam hadis sahih, antara lain maksudnya ialah, bahawasanya, sekiranya seseorang hamba bangun malam, lalu mengingati Allah (samada lisan atau hati), kemudian berwudhuk dan melakukan solat, dengan izin Allah, ia akan menjadi bersemangat dan bersih jiwanya. Kebersihan jiwa mampu menghilangkan gundah di dalam dada. InsyaAllah.

Membaca & Tadabbur Al Quran

…sesungguhnya telah datang kepadamu sebuah pelajaran daripada tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) di dalam dada…
(Yunus : 57)
Al quran mengandungi hikmah. Itulah antara kata-kata hikmah yang dipetik daripada Al quran. Ya, terlalu banyak hikmah yang terdapat di dalamnya. Namun jika hanya pembacaan sahaja, tanpa dihayati isinya, maka tidaklah dapat kita merasai kemanisan kalamullah tersebut. Untuk menghayatinya, sebagai golongan yang tidak memahami bahasa Arab, kita hendaklah membaca Al Quran bersama-sama terjemahannya.
(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), Kitab yang mempunyai banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayat-Nya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna sebagai peringatan dan iktibar.
(Shaad: 29)


Tadabbur Al Quran. Bagaimana? iaitu dengan menghayati isi kandungan sehingga mampu mengalirkan airmata. Berikut ialah contoh-contohnya :

Ketika membaca ayat-ayat mengenai azab Allah :

Rasakan diri kitalah yang dimaksudkan oleh Allah Taala. Kitalah yang diazab, kitalah yang termasuk golongan-golongan yang berdosa. Sekiranya, terdapat ayat mengatakan putus asanya orang-orang yang berdosa pada hari Qiamat, maka, bayangkanlah kita sedang berputus asa sehingga melahirkan keinsafan.
Ketika membaca ayat-ayat mengenai nikmat :

Rasakan bahawa kita tidak layak untuk menerima semua nikmat yang tersebut kemudian berdoa agar Allah menyelamatkan kita daripada azab-azabnya.

Perbanyakkan berzikir.

Mengingati Allah mendekatkan kita dengan Dia pemilik segala cinta. Ketenangan seseorang hamba hadir ketika ia dekat dengan tuhannya. Hal ini kerana ketenangan wujud lantaran kestabilan hati dan perasaan aman dan tenteram. Dr Sheikh ‘Aidh Bin Abdullah Al Qarni menulis di dalam kitabnya mengajak kita mengingati Allah :
Berzikir kepada Allah adalah syurga Allah di bumi-Nya. Maka sesiapa yang tidak pernah memasukinya, ia tidak akan dapat memasuki syurganya di akhirat kelak. Berzikir kepada Allah merupakan penyelamat jiwa daripada pelbagai kerisauan dan kegundahan, kekesalan dan goncangan, dan zikir merupakan jalan yang paling mudah untuk meraih kemenangan dan kebahagiaan yang haqiqi.

Redha.

Sabda Rasulullah S.A.W :

Terimalah dengan keredhaan dengan apa yang telah Allah berikan kepadamu, nescaya kamu menjadi manusia paling kaya. (Al Hadith)

Belajarlah untuk redha terhadap ketentuan Allah. Belajarlah untuk redha sekalipun sekecil-kecil musibah atau nikmat yang dikurniakan Allah terhadap kita. Ingatlah bahawa, Kesusahan, keperitan hidup, dan musibah itu sememangnya pahit kerana syurga itu manis. Allah Swt bersabda :

… sebab itu berpegang teguhlah kepada apa yang aku berikan kepadamu dan hendaklah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur.
(Al A’raf : 144)

Wallahu’alam.

Semoga kita sama2 mendapat manfaat daripada perkongsian ilmu ini. Insyaallah.


No comments: