Wednesday, September 14, 2011

Tazkirah Hari Ini - 16 Syawal 1432H

UMMATAN WASATA – 044
by Abdullah Yasin on Monday, September 12, 2011 at 12:07am

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُوْنُوا شُهَدَآءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُوْنَ الرَّسُوْلُ عَلَيْكُمْ شَهِيْدًا ، Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. ( Al-Baqarh / 2 : 143 )

Pengajaran Ayat :
1. Dalam keghairahan kita ingin kembali kepada agama Islam yang asal sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW, ( Sila Lihat Nota 043 : Falsafah Eid Al-Fitry ) kita jangan sekali-kali perpegang kepada agama Islam secara berlebih-lebihan atau sebaliknya terlalu longgar. Ayat diatas menjelaskan bahawa Allah SWT telah menetapkan bahawa umat akhir zaman, umat Nabi Muhammad SAW dijadikan-Nya sebagai “ Ummatan Wasata “. Ummatan : Umat ; Wasata : Makna asalnya adalah “ pertengahan “. Tapi dalam kitab-kitab Tafsir Al-Quran selalu diartikan dengan makna “ Adil dan Pilihan “. Dan kerana keadilan, maka mereka layak menjadi saksi bagi seluruh manusia di akhirat nanti. Dan makna pilihan pula, umat Muhammad SAW adalah umat yang terbaik. Ini sebagaimana firman Allah : Kamu adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk umat manusia. (Ali Imran/3 : 110).

2. Umat Islam adalah umat yang adil. Makna adil pula ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Mereka berbeza dengan Yahudi dan Musyrikin yang terlalu kebendaan (materialistic) dan terlalu mementingkan factor jasmani, lalu mengabaikan factor rohani. Umat Islam juga tidak seperti Nasrani yang terlalu mementingkan factor kerohanian (spiritualistic), lalu mengabaikan factor jasmani. Umat Muhammad SAW adalah Umat Pertengahan. Hal ini seperti perkataan Abdullah Ibnu Abbas RA : ( خَيْرُ الأَعْمَالِ أَوْسَطُهَا ) : Sebaik-baik amalan adalah pertengahan. (Kasyf Al-Khafa’ ; Hal. 391). Rasulullah SAW ketika menafsirkan makna ( أُمَّةً وَسَطًا ) dalam ayat diatas bersabda : (عَدْلًا ) : Adil. (HR Tarmidzi ; Hadis Hasan Sahih). Jadi makna ayat diatas : Kami jadikan umat Islam umat yang adil lagi pilihan. Merekalah umat pertengahan dalam semua urusan mereka, tidak ifrat (berlebih-lebihan) dan tidak pula tafrit (longgar), sama ada dalam hal agama ataupun dalam hal keduniaan. Contoh : Dia tidak akan solat sepanjang hari sehingga mengabaikan kewajipannya terhadap dirinya, keluarganya, masyarakatnya dan negaranya. Dia juga tidak hanya solat jika sempat saja sehingga kurang dari lima kali sehari semalam atau solat tanpa tumakninah dan lain-lain. Tetapi dia akan meletakkan setiap tuntutan agama pada tempatnya.

3. Imam Al-Auza’iy berkata : ( مَا مِنْ أَمْرٍ أَمَرَ اللهُ بِهِ إِلَّا عَارَضَ الشَّيْطَانُ فِيْهِ بِخَصْلَتَيْنِ لَا يُبَالِي أَيَّهُمَا أَصَابَ الغُلُوَّ أَوِ التَّقْصِيْرَ ) : Tidak ada satupun perintah dari Allah (kepada manusia) melainkan syaitan pasti berusaha agar mereka melakukan dua perkara, dan dia tidak peduli yang mana dari dua itu yang umat manusia lalui, sama ada berlebih-lebihan atau longgar. Jadi umat Islam yang ideal dan contoh, akan sentiasa meletakkan sesuatu pada tempatnya. Selain mereka layani kehendak jasmani seperti makan, minum, pakaian, kahwin, memperbaiki hubungan dengan sesama insan, mereka juga tidak lupa melayani kehendak rohani seperti menekuni ibadat dan bertaqarrub mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa. Selain melayani kehendak jasmani mereka juga melayani kehendak rohani. Demikian sebaliknya. Selain mereka jaga makanan jasmani agar jasmani sihat, mereka juga menjaga makanan rohani agar rohani juga sihat. Mereka bangga dijadikan Allah sebagai umat manusia, mereka bukan makhluk malaikat dan bukan pula makhluk binatang ternak.

4. Sifat “ Wasata “ atau adil atau pilihan atau sederhana pada umat Muhammad SAW dituntut dalam semua bidang, apakah dalam bidang muamalat, ibadat hatta dalam bidang aqidah. Sungguh banyak dalam Al-Quran dan Al-Hadis yang menunjukkan perinsip ini. Sebagai contoh Al-Quran bukan hanya melarang sikap bakhil kedekut tetapi juga melarang sifat boros, tetapi Islam menyuruh supaya berada diantara keduanya. (Surah Al-Furqan) ; Nabi SAW melarang sahabat bernama Abdullah Bin Amru Bin ‘Ash berpuasa sunat setiap hari, solat malam tanpa tidur dan tidak menggauli isterinya lagi, lalu bersabda : Allah ada hak yang mesti kamu tunaikan, demikian juga dirimu dan ahli keluargamu juga mempunyai hak yang mesti kamu tunaikan. (HR Imam Muslim ). Dalam bidang aqidah umpamanya : Kita wajib beriman dengan semua sifat Allah sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya dan sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasul-Nya dalam hadisnya yang sahih tanpa takwil, tanpa tamthil, tanpa tasybih, tanpa takyif. Dalam hal-hal ghaib kita wajib percaya saja tanpa takyif yakni mempersoalkan bagaimana ia. Berpeganglah dengan panduan Salaf Soleh yang mengatakan dalam hal ini ( إِثْبَاتُ الوُجُودِ وَلَا إِثْبَاتُ الكَيْفِيَّةِ ) :Kita ithbatkan (tetapkan) kewujudannya, tanpa mengithbatkan bagaimana dia. Contoh : Kita yakini saja akan adanya dua malaikat yang mencatat amal perbuatan dikiri dan dikanan kita tetapi kita tidak perlu tahu bagaimana rupa dan cara mereka mencatatnya. Sebagaimana kita yakini saja bahawa Allah SWT memang bersemayam di atas ‘Arasy-Nya tanpa perlu mengetahui bagaimana cara Dia bersemayam.

5. Disebabkan mendapat keistimewaan “ Ummatan Wasata “ yakni umat yang adil, maka umat Muhammad SAW layak menjadi saksi ke atas semua umat di Akhirat nanti. Daripada Sa’id Al-Khudriy bahawa Rasulullah SAW bersabda dalam hadis sahih riwayat Imam Bukhari : Nabi Nuh AS dipanggil oleh Allah pada hari kiamat lalu bertanya : Apakah engkau sudah sampaikan risalahku ? Nuh AS menjawab : Sudah. Kemudian Allah bertanya pula kepada umat Nuh AS : Apakah dia (Nuh) sudah sampaikan kepada kamu risalah-Ku ? Kaum Nuh menjawab : Tidak ada seorangpun datang kepada kami menyampikan risalah-Mu. Selanjutnya Allah bertanya kepada Nuh AS : Siapakah yang akan menjadi saksi bagimu wahai Nuh ? Nabi Nuh AS menjawap : Muhammad dan Umatnya. Selanjutnya Abdullah Al-Mubarak (133-177H) menambah : Umat Nuh berkata : Ya Allah, bagaimana umat Muhammad menjadi saksi ke atas kami sedangkan mereka hidup tidak sezaman dengan kami ? Lalu Allah bertanya kepada umat Muhammad : Bagaimana kamu boleh menjadi saksi ke atas umat Nuh yang kamu sendiri hidup tidak sezaman dengan mereka. Umat Muhammad menjawab : Ya Allah, Engkau telah utus kepada kami seorang Rasul (Muhammad) dan Engkau juga telah turunkan kepada kami kitab-Mu (Al-Quran) yang mengandungi kisah tentangt Nabi-Nabi dan umat terdahulu. Lalu Allah SWT menjawap : ( صَدَقُوا ) : Sungguh benar mereka (umat Muhammad SAW). Hadis sahih ini memperkuatkan lagi kebenaran ayat diatas. Kita wajib bersyukur - Al-Hamdilillah - kita dijadikan oleh Allah sebagai umat Muhammad SAW.

6. Adapun maksud ayat “ dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi ke atas (perbuatan) kamu “ bahawa Nabi Muhammad SAW kelak pada hari kiamat akan diminta oleh Allah SWT agar menjadi saksi ke atas akidah, ibadah dan akhlak umatnya, sebagaimana juga Rasul-Rasul yang lain akan menjadi saksi ke atas amalan kaumnya masing-masing. Oleh itu, kita selaku umat akhir zaman wajib merasa terikat dengan ketentuan bahawa amal perbuatan kita tidak akan diterima oleh Allah kecuali jika memenuhi dua syarat utama amal soleh, iaitu : 1. Lakukanlah amalan itu dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah ; 2. Lakukanlah amalan itu sesuai dengan cara yang telah ditetapkan oleh Rasulullah SAW. Kita mesti yakin bahawa dalam Mahkamah Ilahiy di akhirat nanti, yang bertindak sebagai Hakimnya adalah Allah SWT sedangkan yang dipanggil sebagai saksinya adalah Nabi Muhammad SAW, bukan imam mazhab dan bukan pula tuan guru. Oleh itu, jika ingin selamat ketika amalan dihisab kelak, jangan fanatic atau ta’assub tuan guru. Pandangan ulama atau tuan guru perlu dihormati dan malahan boleh diikuti, tetapi dengan syarat selama ia tidak bercanggah dengan Sunnah Rasul SAW. Berfikirlah secara waras sebelum menyesal !!!

7. Untuk mencapai tahap “ Ummatan Wasata “ yakni Umat Yang Adil adalah mustahil jika kita tidak memiliki ilmu pengetahuan, khasnya tentang selok belok dan hukum-hakam agama Islam. Mengapa demikian ? Sebabnya : Maksud sebenar perkataan“Adil“ dalam Islam adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Bagaimana anda akan meletakkan sesuatu hukum pada posisi yang sebenarnya andaikata anda tidak mempunyai ilmu tentangnya. Islam bukan saja melarang kita merubah hukum Allah dari Haram kepada Halal atau sebaliknya dari Halal kepada Haram ; malahan Islam juga melarang kita merubah hukum Allah daripada Makruh kepada Haram atau daripada Sunat kepada Wajib, atau sebaliknya. Dengan berbekalkan Ilmu Pengetahuan Agama, khasnya yang berteraskan Al-Quran dan Al-Sunnah, maka hidup kita akan tenang tenteram serta yakin ketika beramal. Hanya dengan cara demikian kita dapat melawan musuh utama kita yakni Iblis atau Syaitan Laknatullah. Rasulullah SAW menjamin bahawa umatnya tidak akan sesat buat selamanya dalam sabdanya : Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara. Selama kamu berpegang teguh dengan kedua-duanya, maka kamu tidak akan sesat untuk selama-lamanya, iaitu Al-Quran dan Sunnahku. ( HR Imam Malik dalam kitabnya Al-Muwatta’ )