Friday, November 25, 2011


Shared notes by Nourel Ieman
( 23 November 2011 ) 10.00 to 11.00 am

1)  Fitrah manusia memang serba kekurangan.

2)  Hanya Allah yang sempurna Tanamkan dalam hati "kita mesti menuju kesempurnaan sebelum menghadap Allah". Sempurna dalam kata lain ialah sempurna iman, sempurna tutur kata, akhlak dengan orang keliling, ithqon (lakukan yg terbaik) dalam pekerjaan - ia merupakan 'kualiti hidup'.

3)  2 jenis manusia :
    a) nak dengar apa yang dicakap - mendengar sambil absorb.
    b) tengok siapa yang bercakap - samada org yang bercakap tu buat atau x apa yang dia cakap.

4)  Manusia dipandang berdasar penilaian. Sempurnakanlah iman, bukan hanya fikir nak cantikkan fizikal sahaja.
    a) Syariat  -  Ibarat kulit. Ilmu bagi amalan lahiriah (feqah)m atau ilmu bagi amalan hati. Ia merupakan langkah pertama dalam tertib beramal, melibatkan hukum hakam, halal haram etc. Amalan tanpa ilmu itu tertolak. Ilmu atau syariat ibarat biji benih.
    b) Tareqat  -  Peringkat menghidupkan amalan. Ilmu (syariat) yang ada perlu dilaksanakan. Tarikat ibarat biji benih yang bercambah tumbuh menjadi sebatang pokok. cth : amalan zikir, solat etc.
    c) Hakikat  - Merupakan buah. Jika cukup syarat2nya maka pokok akan menghasilkan buah2. Boleh jadi ia mengeluarkan buah sabar, redha, tawakkal, tawaduk, syukur. Syariat & tarekat yang dibuat dgn penuh kefahaman & penuh penghayatan akan menghasilkan getaran perubahan jiwa.
    d) Makrifat - Hasil dari hakikat. Ia dapat dirasai bila kita istiqomah. Ia merupakan satu kemajuanrohani yang paling tinggi (kearah kesempurnaan)

5)  Banyakkan pandang pada yang dalam, bukan sekadar luaran. Lihatlah kisah zaman nabi khidir - cari kisah orang tua yang badannya penuh kudis, yang tidak diendahkan bila pergi kemajlis makan. Tapi sebaliknya bila dia memakai pakaian yang indah, bercelak - dia dihormat, diberi makanan yang banyak dan dilayan dengan bagus sekali. Sehinggalah dia membuka serban, mencampakkan tongkat dan membuka pakaian yang cantik itu, semua hadirin terkejut. Dan lelaki tua itu berkata "sesungguhnya kamu semua telah memberi makan pada pakaianku, bukan kepadaku". Jadi, jangan sesekali kita kita memandang rendah pada orang lain.

6)  Nikmat yang kita rasa hanyalah di hati.

7)  Orang yang selalu melihat dan bercakap tentang keburukan orang adalah orang yang berada di tahap paling rendah sekali. Oleh itu, marilah kita sama-sama melihat roh sendiri. Badan kita hanya tempat parking roh sementara didunia.

8)  Contohilah sifat tawadhuk Imam Ghazali : sentiasa bersangka baik.
    a) Bila jumpa kanak - kanak - akan katakan budak itu bersih, tiada dosa.
    b) Bila jumpa orang tua - banyak ibadah yang dia dah buat
    c) Bila jumpa pemaksiat - akan kata kita punya maksiat mcm mana?
    d) Bila jumpa si kafir - dia bukan kafir selamanya.

Oleh itu, berhentilah daripada menghukum orang. Sibukkanlah diri dengan mencari kekurangan diri sampai tidak ada masa untuk cari salah & aib orang.

9)  Istiqomah - setiap maksiat akan merosakkan ilmu. Pastikanlah taman fikiran ditanam dengan benda yang baik-baik sahaja. Jadikan sekeliling sebagai pemangkin untuk menjadi baik. cth: kawan, buku, tv, cd & etc yang baik2 sahaja.

10) Kesedaran - sentiasa rendah diri. Pandanglah roh kebaikan orang. Jangan mudah menghukum. cth : kalau orang tak tutup aurat, kita jgn pandang rendah. Tapi pandanglah dengan penuh kasih sayang. Kalau nak nasihat, beli dahulu kasih sayangnya.

11) Kalau kita dikritik, satu rezeki / rahmat akan datang dari Allah. Pujian adalah musibah pada kita.

12) Rasailah kesakitan melalui kenikmatan (nikmat ujian dari Allah).

13) Tentukanlah diri kita : hati bersih Vs hati toksik, penuh iman Vs penuh nafsu. Ingatlah mati selalu untuk reset jiwa agar tidak tamak. Pastikan gol setting. Banyak memberi daripada menerima & tuju makrifat (kesempunaan iman)

14) Seimbang ilmu dan akhirat. Ramai orang salah anggap, bila tgk orang banyak harta, akan kata terlalu keduniaan. Bila kita tengok orang kaya, jadikanlah ia sebagai sumber inspirasi, bukan sebagai dengki.

15) Lelaki yang paling kaya adalah lelaki yang mulut sentiasa berzikir dan dapat isteri yang solehah.

17) Orang yang berkualiti, akan mempengaruhi orang lain, bukan orang lain yang mempengaruhi dia.

18) Wanita, jangan berasa diri terlalu bagus. Hormatilah suami. Sedarlah, jika tiada suami, kita tak akan kemana. Syukurlah kerana ada orang yang mahu kawin dengan kita.

19) Para ibu bapa - Binalah anak2 akhirat, bukan untuk dunia. Jika kita cari akhirat, Insya Allah dunia akan ikut kita. Jadikan ucapan syurga neraka, redha Allah, dosa pahala sebagai ucapan lazim di mulut.

20) Orang yang nak berdakwah, mesti bijak. Niatlah kerana Allah, mesti ada rasa kehambaan, jangan sesekali ada niat nak dapatkan penghargaan & rendah diri. Insya Allah, ilmu yang di ajar mudah meresap masuk & mudah diterima orang.

21) Orang yang Allah tarik penglihatannya (buta), jika redha Allah menjanjikan mahligai disyurga.

22) Mesti yakin pada rezeki Allah. Bergantung pada interaksi kita pada diri :
    a) apa yang kita sering ucap pada diri?
    b) apa yang selalu kita fikir?  :: Oleh itu, jangan sesekali kita fikir negatif. Ia akan pengaruh dalaman kita.

23) Jaga balance kita. Jika ada masalah dunia, tgk akhirat - formula : betulkan akhirat kita dahulu, solat.

24) Petua jaga mata : makan carotene - ciri makanan berwarna merah & oren. Carotene berfungsi sebagai sokongan pada retina mata.

25) Bagaimana nak berhadapan dengan bos yang bersikap 'kepahlawanan'?
    a) Mesti ada rasa kasihan pada orang yang macam ini.
    b) Banyakkan doa untuk dia.
    c) Jangan pandang dengan nagatif, sebab pandangan negatif akan kembali kita semula.

26) Jadikan kerja kita sebagai punca untuk berkhidmat dengan orang dan tempat untuk dapatkan pahala. Bukan untuk tunjuk hebat.

27) Menghadapi orang sakit - Lihatlah sakit itu sekadar fizikal. Kuatkanlah dari segi jiwa. Betulkan hati kita. Jangan terlalu stress, sbb kalau stress fizikal akan bertambah teruk.

28) Wanita yang bijak adalah wanita yang baik dengan mertua. Kerana bila kita ada masalah dengan suami, secara tidak langsung mertua akan sama2 nasihat.

29) Bukan senang nak memaafkan - Kemaafan & melupakan merupakan ubat dalam diri. Dendam ibarat asid yang dicurah dalam diri. Kalau kita maafkan orang, mudah-mudahan Allah gerakkan hati orang untuk maafkan kita pula.

30) RUMUSAN - Untuk menuju sempurna kita kena selalu ingat Allah, Allah yang kita tuju. Berhentilah dari merungut, buanglah segala sifat negatif. Berdoalah selalu.

Friday, November 11, 2011

Bersangka Baik Demi Cinta




Dipetik daripada blog Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Usia perkahwinan sudah lebih tiga puluh tahun. Mereka sudah punya tiga orang cucu. Namun siisteri meluahkan rasa hatinya dengan berkata, “saya sudah letih berdepan dengan kerenah suami. Sikap sambil lewanya sangat memeningkan kepala. Saya benar-benar berada di persimpangan, ingin minta agar perkahwinan ini dibubarkan atau meneruskannya. Apa pandangan saudara?”

“Teruskan perkahwinan,” jawab saya dengan pasti. Saya teringat ungkapan lama yang menjadi pegangan diri sejak dahulu. Ungkapan itu berbunyi: “Jika sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Tetapi jika jalan sudah benar namun pelbagai masalah menghalang, jangan berpatah balik, teruskan perjalanan!”

“Mengapa pula?” tanya siisteri.

“Jika puan boleh sabar selama 30 tahun, hanya ada beberapa tahun sahaja untuk terus bersabar. Umur kita tidak lama. Sabarlah dalam bersabar. Yang penting cubalah positifkan pemikiran dan perasaan. Puan di jalan yang betul, cuma rintangannya ada. Puan mesti atasi dan teruskan perkahwinan ini. ”

“Saudara cakap senang tetapi bagaimana hendak terus positif jika dia terus bersikap negatif?”

Saya senyum. Ya, tulisan kali ini saya tujukan untuknya dan untuk saya juga serta untuk kita semua. Sebenarnya pemikiran yang betul adalah syarat untuk kita bersikap positif. ‘Right mental attitude’ sangat penting dalam melayari bahtera rumah tangga. Sikap yang betul perlu untuk menghadapi cuaca rumah tangga yang tidak menentu. Bagaimana untuk tenang dan bahagia di dalam diri tidak kira apa yang sedang dihadapi di luar diri kerana apa yang lebih utama ialah ‘what happens in you’ bukan ‘what happens to you.’

Untuk mengekalkan cinta perlu ada sikap positif. Tanpa sikap yang positif, cinta akan terbarai dan kebahagiaan akan berkecai. Berikut adalah beberapa langkah praktikal untuk membina pemikiran yang positif seterusnya membentuk sikap yang positif:

1.  Fokus pada tanggung jawab, bukan menuntut hak.

Punca hati tidak tenang dan hilang kebahagiaan dalam hidup kebanyakannya manusia ialah perjuangannya untuk mendapatkan hak. Manusia sering marah dan mengeluh dengan berkata, “aku sepatutnya tidak dilayan begini.” Dalam kebanyakan situasi, kita sering tidak mendapat apa yang kita jangkakan dan harapkan. Betul bukan? Selagi kita hidup kita akan alami pelbagai situasi yang mana susu yang kita berikan tetapi tuba kita terima sebagai balasannya.

Di dalam rumah tangga jangan mengharapkan kesempurnaan pada pasangan kita. Bunga yang kita berikan, jangan mengharap bunga sebagai balasannya. Tetapi apakah kerana tidak mendapat balasan lalu kita berhenti menghulurkan kebaikan? Jangan! Fokus pada tanggung jawab – sebagai suami atau isteri kita dituntut oleh syariat untuk melaksanakan tanggung jawab. Tunaikan hak pasangan kita itu lebih utama daripada kita menuntut hak kita. Ah, apakah ini bererti kita akan terus menjadi mangsa?

Jawabnya, tidak. Kita akan lebih tenang, percayalah. Adalah tidak bijak untuk terus membuang masa dan tenaga memikirkan tentang apa yang sepatutnya berlaku berbanding apa yang perlu dan patut kita lakukan? Ramai orang terseksa dengan kekecewaan dan geramkan pasangannya yang sepatutnya berbuat begini atau begitu… Pada hal, pemikiran yang negatif itu akan memburukkan lagi keadaan. Yang penting fokus kepada apa yang aku boleh lakukan untuk melaksanakan tanggung jawab ku.

Katalah dalam satu pertelingkahan dan kita berada di pihak yang betul dan benar, itu pun bukan jaminan untuk kita dimenangkan dan dibenarkan.  Acap kali pihak pasangannya kita terus berusaha menegakkan benang yang basah. Apatah lagi bila egonya tercabar. Lalu sikap kita bagaimana? Jangan berterusan menuntut hak. Jangan memendam rasa dengan mengecam bahawa keadaan itu tidak adil. Ingatlah, berterusan memperjuangkan kesempurnaan dalam dunia (termasuk rumah tangga)  yang tidak sempurna ini hanya akan menjerumuskan kita ke lembah dendam, marah, kecewa dan kemurungan.

Rasa-rasa yang negatif ini akan ‘menyedut’ tenaga, keceriaan dan akan menyebabkan kedutan pada wajah kita. Kesannya, kita akan ditarik ke belakang. Malah kita akan ditolak ke lorong yang salah dalam kembara kehidupan yang penuh ujian ini. Untuk bergerak ke hadapan dan terus memburu kemajuan dalam diri agar lebih bahagia dan tenang dalam hidup… kita perlu tinggalkan segala keegoan, kepentingan, ketakutan dan sikap tidak memaafkan.

Semua itu hanya boleh dicapai apabila kita fokus kepada tanggung jawab dan selalu berfikir tentang apa yang perlu aku lakukan berbanding dengan apa yang sepatutnya dia (pasangan kita) lakukan. Tumpukan kepada apa yang boleh kita kawal, yakni tanggung jawab kita bukan pada sesuatu yang di luar kawalan kita yakni hak kita yang ada pada kawalan pasangan kita.

Ironinya, mereka yang berjaya melaksanakan tanggung jawab dengan baik sering mendapat haknya sebagai balasan. Dan kalau mereka tidak mendapat balasan daripada pasangannya pun, Allah akan memberikan ketenangan dalam hati mereka seperti mana ketenangan yang dirasai oleh Siti Asiah isteri kepada Firaun.

2.  Sering berdamping dengan orang yang positif.

Siapa kita lima tahun akan datang dicorakkan oleh dengan siapa kita bergaul dan buku apa yang kita baca. Begitu ditegaskan oleh orang bijaksana. Dengan siapa kita meluangkan masa kita sangat menentukan sikap kita. Kata pepatah, burung yang sama bulu akan terbang bersama. Rasulullah s.a.w menegaskan, agama seseorang ditentukan oleh temannya.

Justeru, berhati-hatilah memilih orang untuk kita dampingi. Jauhkan ‘toxic people’ yang sering menusuk jarum-jarum umpatan, adu domba dan rasa pesimis dalam melayari kehidupan berumah tangga. Pernah kita jumpa orang yang sentiasa mengeluh? Asalkan berjumpa sahaja mulalah dia mengeluh tentang badannya yang tidak sihat, dia sering ditipu, dia dilayan dengan buruk sampailah ke rumahnya yang sempit… Apa yang anda dapat daripada orang yang begini?

Oleh itu jika jiran, teman atau kenalan kita ialah dia yang tidak ‘melahirkan’ sesuatu yang baik dan positif daripada diri anda, mengapakah tidak kita buat sedikit perubahan atau penyesuaian? Kita berhak untuk meletakkan satu jarak yang agak jauh untuk tidak dijangkiti oleh sikap negatifnya. Ingat, teman rapat kita ialah mereka yang membantu kita mengeluarkan yang terbaik dari dalam diri kita. Kaki umpat, mengeluh dan menghasut hakikatnya bukan sahabat kita walaupun kelihatan dia baik dengan kita! Ingat pepatah Melayu lama – sokong yang membawa rebah.

3.  Jadikan sekarang masa paling gembira.

Jika orang bertanya bilakah masa yang paling gembira dalam hidup berumah tangga kita, jawablah, “sekarang!” Usah berpaling ke belakang dengan mengatakan semasa mula-mula kahwin dahulu atau melangkau ke masa hadapan dengan berkata, “bila anak-anak sudah besar dan hidup lebih stabil.” Dengan berkata demikian kita telah ‘membunuh’ potensi hari ini.

Ya, memang kita mula-mula kahwin dahulu kita gembira, tetapi rasa gembira itu hanya pada waktu itu. Dan waktu itu telah berlalu. Kita hanya hidup pada masa ini bukan pada masa lalu. Justeru, jadikanlah masa ini masa yang paling gembira. Hiduplah untuk hari ini kerana semalam sudah berlalu dan hari esok masih belum tentu. Inilah yang dipesankan oleh Rasulullah s.a.w, jika kamu berada pada pagi jangan menunggu waktu petang dan begitulah sebaliknya. Kita hanya akan meletihkan diri sendiri jika cuba hidup dalam tiga masa – semalam, hari ini dan esok!

Jangan biarkan tragedi masa lalu menyengat kita berkali-kali dengan mengenangnya selalu. Sebaliknya, carilah pengajaran yang kita dapat daripadanya dan selepas itu terus lupakan. Juga jangan sentiasa diingat-ingat saat gembira masa lalu kerana itu hanya memori dan itu bukan lagi realiti yang sedang kita hadapi masa kini. Sebaliknya, carilah apakah ‘resipi’ yang menghasilkannya dahulu dan mari dengan itu kita ciptakan kegembiraan baru hari ini!

4.  Cari jalan untuk mengatasi stres.

Stres akan menyebabkan keletihan dalam pemikiran dan perasaan yang lama-kelamaan akan membentuk sikap yang negatif. Oleh itu para suami atau isteri mesti menemukan cara untuk mengawal stres. Antara kaedah terbaik ialah dengan melakukan aktiviti fizikal, hobi atau minat kita. Boleh jadi dengan berkebun, menenun, membaca, berjoging atau bersukan. Lepaskanlah geram, kecewa dan marah kita kepada aktiviti yang menyihatkan dan menceriakan.

Jangan tahan jika anda hendak ketawa, berlari atau melompat sepuas-puasnya. Bebaskan diri daripada belenggu tekanan dan masalah yang menghantui hidup anda. Dengan aktiviti yang aktif dan perlakuan yang memerlukan konsentrasi mental, fikiran, jiwa dan emosi kita akan melalui tempoh ‘pause’ atau istirahat. Lupakah kita bahawa Rasulullah saw berlumba lari dengan isterinya?

Ini akan memberi kekuatan untuk kita meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Kita akan dapat melupakan seketika masalah yang kita hadapi… bukan untuk eskapisme tetapi untuk kembali menanganinya semula apabila jiwa kita segar, fikiran kita tenang dan emosi kita telah kembali stabil.

5.  Jangan terlalu serius.

Kehidupan berumah tangga ialah sesuatu yang serius tetapi perlu dijalani dengan tidak terlalu serius. Jalanilah kehidupan dengan sedikit gurau senda dan berhibur. Siti Aishah pernah meletak dagunya di bahu Rasulullah s.a.w untuk melihat tarian orang Habsyah.  Hiburan umpama garam dalam masakan. Tidak perlu terlalu banyak, tetapi cukup sekadar keperluan untuk memberi rasa yang enak. Ya, sedangkan Rasulullah s.a.w lagikan bergurau dengan isteri-isterinya, mengapa kita tidak?

Memang banyak perkara yang penting dan kritikal perlu kita selesaikan, tetapi itu tidak menghalang daripada kita berjenaka dan bergurau senda seadanya dengan pasangan kita. Insya-Allah dengan unsur-unsur humor dalam rumah tangga kita, hubungan kita suami isteri akan lebih kukuh dan kita akan mampu bergerak lebih jauh untuk menghadapi cabaran dalam rumah tangga. Ternyata mereka yang menangani kehidupan dengan ceria menjadi individu yang lebih berjaya menyelesaikan konflik dalam berumah tangga seterusnya membina rumah tangga bahagia.

Apabila rumah tangga kelihatan malap atau ‘sindrom bisu’ mula melanda, cepat-cepatlah ubah suasana luaran itu dengan mengubah suasana dalaman kita dengan empat cara yang dicadangkan ini. Insya-Allah, yang penting bukan apa yang kita lihat tetapi bagaimana kita melihatnya. Orang yang positif akan sentiasa melihat sisi positif pada pasangan dan keadaan yang sedang dihadapinya… Mereka sahaja yang layak bahagia kerana sentiasa berfikir untuk membahagiakan orang lain. Sebaliknya orang yang negatif, hanya akan menyeksa dirinya dan membosankan pasangan hidupnya!

Kesimpulannya, bersangka baiklah walaupun kekadang keadaan tidak sebaik yang kita sangkakan. Bukan menafikan realiti, tetapi demi ketenangan hati. Orang yang buruk sangka akan tersiksa dua kali, pertama oleh sangkanya atas keburukan yang belum terjadi. Kedua, oleh derita hatinya apabila yang buruk itu telah benar-benar terjadi.

Apabila kita bersangka baik, hati akan menjadi lebih tenang. Kita punya tenaga dan upaya untuk menghadapi ujian hidup apabila kita hadapinya dengan tenang. Ya, mungkin kita tidak mampu mengubah keadaan, tetapi sekurang-kurangnya kita punya kekuatan untuk menghadapinya. Pada hal yang buruk dan sukar itu kekadang hanya seketika, atau boleh jadi yang buruk itu… tidak buruk sama sekali. Ada hikmah yang tersirat di sebaliknya. Ada kebaikan yang tersembunyi di belakangnya. Begitulah hidup… satu siri misteri yang tidak dapat ditebak dan diduga. Pernah kita membayangkan suami atau isteri kita yang ada ini sebelum ini? Kebanyakkannya tidak! Bercinta dengan orang lain, berkahwin dengan orang lain. Itulah misterinya takdir…

Apa yang perlu kita lakukan… bersyukur dengan apa yang ada. Bila bersyukur Allah tambah nikmat. Bersyukurlah dengan pasangan yang ada, Insya-Allah, Tuhan akan menambah kebahagiaan kita. Kalau dia tidak berubah perangai, kita pula yang Allah kurniakan kesabaran untuk menghadapi karenahnya. Itu juga satu anugerah bukan? Ya, kata bijak pandai, “jangan minta hidup yang mudah tetapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya!”




Wednesday, November 02, 2011

Doa Ringkas Selepas Solat





Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala puji bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan sejahtera semoga dilimpahkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad yang semulia-mulia pesuruh-Nya, serta ke atas keluarga dan sekalian sahabat-sahabatnya.

Ya Allah, wahai Tuhan kami, hidupkan kami dengan iman, matikan kami dalam iman, serta masukkan kami ke dalam syurga bersama-sama iman.

Ya Allah, ya Tuhan kami, ampunilah segala dosa kesalahan kami dan dosa-dosa kesalahan kedua ibu bapa kami, serta kesihanilah kedua ibu bapa kami sebagaimana mereka berdua mengasihani kami semasa masih kecil.

Ya Allah, akhirilah umur kami dengan kesudahan yang baik dan janganlah kiranya Engkau akhirkan umur kami dengan kesudahan yang tidak baik.

Ya Allah, ya Tuhan kami, janganlah kiranya Engkau pesongkan iman kami sesudah Engkau kurniakan kepada kami petunjuk. Anugerahilah kami rahmat kerana sesungguhnya Engkau Maha Pengurnia.

Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia ini dan juga di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka.

Semoga Allah mencucuri rahmat dan sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan ke atas seluruh keluarga dan sahabat-sahabat baginda. Dan segala puji itu tertentu bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam.




Tuesday, November 01, 2011

Doa Murah Rezeki


Renung-Renungkan

Manusia hanya akan berubah dengan pendidikan (ILMU)

Manusia jahil tanpa ilmu payah untuk berubah, bahkan akan menjadi penentang kebenaran.  Akhirnya menjadi pendokong kebatilan.

Pendidikan Islam harus menjadi keutamaan semua pihak.  Cita-cita pendidikan Islam harus didokongi bersama agar lahir generasi yang kenal ALLAH dan mencintai RASULULLAH.



"Jika pun kita diuji oleh Allah belajar dgn ujian yg dilalui oleh Rasulullah, 
Kalau pun kita sukar, kita tidak mampu menandingi kesukaran Rasulullah, 
Kalau pun kita susah, ditekan dan di tekan dalam hidup, 
kita tidak mampu menandingi tekanan demi tekanan yg dilalui oleh Rasulullah s.a.w.."