Monday, January 31, 2011

Menuju Keluarga Sakinah - Part 4: Cara Mendidik Anak-Anak

Post kali ini merupakan kompilasi ilmu yang saya dapatkan daripada beberapa sumber di internet untuk dikongsikan bersama rakan maya dan sahabat2 yang melawat blog saya ini. Fokus utama adalah bagaimana untuk kita, ibu bapa akhir zaman ini yang terlalu sibuk dengan urusan harian tentang bagaimana caranya untuk kite mendidik anak-anak yang kita sayangi seperti yang dipesankan oleh para kekasih Allah.



Anak-anak adalah zuriat dan pewaris kita di masa hadapan. Meskipun kita telah meninggal dunia, saham yang dilakukan oleh anak-anak masih sampai kepada kita. Saham yang dimaksudkan ialah dosa dan pahala.

Seorang blogger ada menceritakan tentang beberapa tahun yang lepas beliau pernah mendengar seorang ustaz mengajar. Ustaz itu menceritakan kisah Luqman Al Hakim. Sebagaimana yang kita semua tahu, Luqman adalah seorang hamba yang sangat taat kepada tuhan, beliau juga mempunyai anak yang baik budi pekertinya, elok akhlak dan kuat imannya. Bagaimanakah Luqman mengajar anaknya? Soalan ini pernah ditanya oleh sahabat Luqman sendiri. Lalu Luqman menjawab:

“Saya mendidik anak saya sebelum mereka lahir lagi, bahkan sebelum saya berkahwin!”

Ehem, bagaimana ya ingin mendidik anak sebelum mereka dilahirkan? Luqman menjawab lagi:

“Didiklah diri kamu dahulu. Jadilah seperti mana anak yang kamu inginkan!”

Kadangkala kita inginkan yang terbaik daripada orang lain, sebaliknya kita sendiri tidak berubah ke arah itu. Begitu juga dengan anak-anak, kita mahukan anak-anak yang baik, rajin, berhati mulia, dihormati, disayangi dan disukai oleh sesiapa sahaja, namun kita sendiri tidak pernah memperbetulkan diri untuk menjadikan diri kita sentiasa lebih baik dari hari ke hari.

Jika mahukan anak yang sentiasa bersembahyang jemaah di masjid, bersembahyanglah kita ke masjid mulai hari ini, jika mahukan anak-anak yang cemerlang, cemerlangkanlah diri kita mulai hari ini, jika mahukan anak yang suka bersosial, hiduplah kita dengan bersosial dan bebas tanpa memikirkan apa yang bakal berlaku di masa hadapan.

Pesanan Saidina Ali:

Didiklah anak kamu dengan cara yang berbeza setiap 7 tahun.

7 tahun pertama, beri dan ajarkan mereka tentang kasih sayang. Manjakan mereka dengan kelembutan dan rasa cinta.

7 tahun kedua, berlaku tegas dengan mereka, didik mereka dan perbetulkan kesalahan yang mereka lakukan.

7 tahun ketiga, berkawanlah dengan mereka, di saat ini mereka memerlukan teman untuk berbicara dan mengemukakan pendapat. Mereka sudah boleh berfikir, bersahabatlah dengan mereka sebelum mereka mempunyai sahabat lain yang boleh meroksakkan akhlak.

--------------------------------------------------------------------------------------------

Ada juga persoalan yang ditimbulkan oleh ibu bapa berhubung “Umur Paling Lewat Untuk Mendidik Anak-anak”.

Seperti yang dinyatakan dalam sebuah blog, sebenarnya tidak ada istilah terlambat untuk membentuk perangai seseorang. Yang ada hanyalah usaha. Yang menentukan kejayaan usaha itu bukan masa, bukan umur, bukan kita dan bukan juga mereka tetapi hanyalah Allah.

Kurang sabar dan suka menengking ada kaitan dengan sikap garang. Sikap garang tidak semestinya sikap yang buruk. Yang menjadikan sikap itu buruk adalah kerana garang pada sesuatu yang salah. Kita imbas kembali sikap saidina Umar Al-Khattab. Beliau adalah seorang yang garang sebelum memeluk Islam dan masih merupakan seorang yang garang selepas memeluk Islam. Tetapi dengan Islam, beliau garang menentang musuh Allah, beliau garang dengan orang-orang yang cuba menyakiti Rasulullah.

Sekiranya pada masa ini kita menggunakan pendekatan memarahi anak2 dengan cara meninggikan suara dan menengking2 mereka. Kita akan dapat lihat, perbuatan itu akan diikuti oleh anak2 kita dan mereka akan mengulangi cara kite itu untuk memarahi pula adik-beradik yang lain. Memang sikap ini kurang baik, tetapi semua sikap buruk dalam dunia ini boleh diperbetulkan dengan nilai-nilai Islam.

Ada 3 perkara perlu dilakukan.

1 – Ubah Diri Sendiri.

Kadang-kadang kita sering berfikir bagaimana hendak mengubah sikap anak-anak. Tetapi kita sering terlupa bahawa anak kita adalah cermin kepada diri kita sendiri. Bagaimana mereka melihat kita, begitulah sikap mereka. Adalah kurang baik untuk kita cuba mengubah sikap anak kita sepertimana yang kita mahu sedangkan kita sendiri tidak berubah ke arah itu.

Jangan sesekali terfikir yang kita sudah terlambat untuk mengubah sikap, kerana untuk mengubah sikap ia bergantung kepada kemahuan dan usaha kita sendiri. Tiada kaitan dengan masa atau umur. Jika kita sendiri rasa bahawa kita sudah terlambat, maka sikap yang ada pada anak-anak kita itu sudah tentu tidak dapat diubah lagi.

2- Marah dengan menyebut kebesaran Allah dan dengan nada yang sederhana.

Apabila marah, marahlah dengan menyebut nama Allah. Biasanya apabila kita marah kita sering terlupa bahawa apa yang berlaku itu adalah ketentuan dari-Nya. Dengan menyebut nama Allah kita akan kembali ingat kepada-Nya meskipun dalam keadaan marah. Usah menengking-nengking dengan kuat kerana perbuatan itu hanya akan menyebabkan hati kita semakin panas membakar. Bercakap dengan nada yang sederhana dan tegurlah dengan baik.

3- Banyakkan berzikir, selawat dan mempelajari ilmu agama bersama-sama anak. Tanamkan ke dalam hati kita dan hatinya rasa cinta kepada Allah dan rasul-Nya.
Hanya diri yang kuat ingatannya pada ilahi dan kuat imannya akan menjadi seorang yang tenang. Begitu juga anak-anak. Mereka akan melihat bagaimana kita menghadapi sesuatu situasi. Jika kita sering kelihatan tenang dan bersahaja, mereka juga akan terikut-ikut dengan sikap itu. Namun untuk bersikap tenang kita perlu menyucikan hati dengan selalu mengingati Allah.

Dari persoalan ini jelaslah kepada kita bahawa tiada istilah terlewat dalam mendidik anak-anak mahupun mendidik diri sendiri. Sebab itu Allah sentiasa membuka pintu taubat dan sudi mengampunkan dosa mana-mana sahaja hambanya yang ingin bertaubat. Tidak kira berapakah umur mereka. Manusia sentiasa boleh berubah.

Ketahuilah bahawa Allah mengurniakan ganjaran yang besar untuk mereka yang menyayangi anak-anak. Di bawah adalah 9 fadhilat mendidik anak yang dipetik dari blog Anakkusoleh.com:
  1. Ciumlah anakmu kerana pahala setiap ciuman itu dibalas dengan satu darjat syurga. Nisbah di antara dua darjat ialah 500 darjat.

  2. Syurga itu ialah sebuah kampung kesenangan, tiada masuk ke dalamnya melainkan orang yang menyukai kanak-kanak.

  3. Barangsiapa keluar ke pekan Muslim dan membeli barang-barang dan kembali ke rumah dengan buah tangan untuk anak-anaknya, nescaya mendapat rahmat daripada Allah dan tidak diseksa di Akhirat kelak.

  4. Muliakan anak-anak dengan mengajar mereka adab dan ilmu agama. Barangsiapa memuliakan anak-anaknya dalam keadaan jahil dia turut menanggung tiap-tiap dosa yang dilakukan oleh anaknya itu dan barangsiapa membekalkan anaknya itu turut diperolehinya.

  5. Aqrak pernah terlihat Nabi SAW mencium cucu baginda Hassan. Aqrak berkata; “Anakku sepuluh orang banyaknya, namun tiada seorang pun yang pernah aku cium.” Sabda Nabi SAW; “Orang yang tidak menyayangi tidak pula akan disayangi.”

  6. Barangsiapa ke pasar dan membeli sesuatu barang untuk ahli keluarganya dan dia memikulnya ke rumah; pahalanya seperti dia memikul sedekah untuk orang yang sangat berhajat.

  7. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

  8. Barangsiapa yang mengembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah. Orang yang menangis takutkan Allah diharamkan oleh Allah akan api neraka ke atas tubuhnya.

  9. Seorang lelaki bertanya; “Ya Rasulullah, kepada siapakah harus akuberbakti? ” Jawab baginda; “Berbaktilah kepada ibu bapamu.” Kata lelaki itu lagi; “Ibu bapaku sudah tiada lagi.” Sabda Nabi SAW; “Kalau begitu berbaktilah kepada anakmu, ibubapa berhak terhadap dirimu dan anakmu pula berhak ke atas dirimu.”

Subhanallah..Begitu banyak ganjaran yang Allah kurniakan kepada mereka yang menyayangi anaknya. Semoga kita semua mendapat fadhilat yang dinyatakan di atas. InsyaAllah…



No comments: